Pameran bertemakan 'Ideas That Shift' yang dipamerkan sempena Majlis Konvokesyen Universiti Brunei Darussalam (UBD) Ke-37 tahun ini, menelusuri perjalanan berfokuskan tujuan yang bermula daripada inovasi dasar ke penemuan saintifik, sehinggalah kepada penyelesaian dunia sebenar, sekali gus mencerminkan peranan UBD sebagai institusi yang memimpin melalui idea, bukti dan tindakan.
Perjalanan tersebut dimulakan dengan pandangan jauh dalam pembentukan dasar. Institut Kajian Dasar (Institute for Policy Studies-IPS) memperkenalkan 'Policy Development and Decision-Making Through Data-Driven Systems: A Pathway to AI Policy Innovation Lab', iaitu kerangka perintis yang mengintegrasikan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) ke setiap peringkat kitaran dasar.
Pendekatan tersebut meningkatkan ketelusan, kebolehsuaian dan keberkesanan jangka panjang, sekali gus memperkasa pembuat keputusan untuk bertindak balas terhadap cabaran semasa dengan lebih tepat. Model tersebut memanfaatkan 'machine learning' dan 'natural language processing' bagi menghasilkan pandangan berpandukan data secara dinamik, daripada penetapan agenda hingga penilaian dasar, melangkaui kaedah tradisional berasaskan dokumen statik dan data terhad.
Daripada visi kepada sains, naratif pameran beralih kepada penyelidikan untuk daya tahan ekosistem. Institut Biodiversiti dan Penyelidikan Alam Sekitar (IBER) mempamerkan 'Research, Restoration, and the Future of Brunei's Peat Swamp Forests' yang menekankan kepimpinan Negara Brunei Darussalam (NBD) dalam memelihara salah satu ekosistem paya gambut paling utuh dan kaya karbon di Asia Tenggara.
Melalui projek pemulihan di Badas, Lumut dan Ulu Mendaram, yang disokong oleh kajian ekologi jangka panjang, IBER menyediakan asas pengetahuan bagi membimbing penggunaan tanah secara lestari dan perlindungan biodiversiti.
Penyelidikan yang dijalankan merangkumi kajian tentang dinamik tanah gambut, pemulihan hutan, dan pemulihan biodiversiti, memberikan pandangan penting terhadap daya tahan ekosistem tanah gambut.
Perjalanan pameran diakhiri dengan aplikasi di lapangan. Fakulti Pengajian Tentera (Faculty of Military Studies-FMS) menampilkan 'Drone Technology for Sustainable Decisions and Development to Redress Illegal Logging' yang meneroka penggunaan teknologi dron bagi memperkukuh pemantauan dan perlindungan hutan.
Pemantauan masa nyata, tindak balas pantas dan koordinasi yang lebih baik membolehkan dasar dan hasil penyelidikan diterjemahkan kepada tindakan tegas menentang pembalakan haram serta kehilangan sumber.
Penyelidikan ini turut mengenal pasti cabaran operasi dan menekankan potensi dron sebagai alat pemantauan hutan masa nyata yang menjimatkan kos dan boleh diskalakan, bagi tindak balas yang lebih pantas serta penyelarasan antara agensi yang lebih baik. Dengan merapatkan jurang penguatkuasaan, dron memainkan peranan penting dalam melindungi sumber semula jadi dan memajukan matlamat kelestarian Brunei Darussalam.
Secara keseluruhannya, pameran tersebut memperlihatkan bagaimana UBD menggerakkan langkah daripada idea kepada impak nyata dengan berteraskan keutamaan negara, progresif dari segi pendekatan dan menerajui penyelesaian yang memberi manfaat kepada NBD dan dunia.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto